09 January 2009

5 juta pelajar sertai gerakan massa

Pelajar sekolah di seluruh negara akan menyertai satu gerakan massa bertujuan menyemai kesedaran membenci keganasan Israel terhadap rakyat Palestin, kata Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Menurutnya, gerakan besar-besaran itu turut membabitkan warga pendidik serta kakitangan kementerian yang akan dipimpin oleh beliau sendiri.
“Menerusi gerakan itu, semua lima juta pelajar dari 10,000 sekolah akan diberi pendedahan meluas bahawa keamanan, keadilan dan keadaan selesa negara ini pada bila-bila masa boleh dirampas pihak tertentu yang rakus dan tamak.
“Kesedaran perlu diisi dalam jiwa anak-anak kita sejak di bangku sekolah lagi dan menerusi gerakan sedemikian, ia akan membawa erti dan makna yang amat bernilai kepada mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan perutusan Tahun Baru 2009 Kementerian Pelajaran di sini hari ini.
Gerakan massa itu dipersetujui oleh Kabinet dalam mesyuarat yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam.
Menurut Hishammuddin, gerakan itu akan dilaksanakan secepat mungkin dan berharap semua pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kementerian lain akan terlibat menyatukan suara generasi muda agar ia dapat didengar di peringkat antarabangsa dengan lebih berkesan.
Menurutnya, isu keganasan dan pembunuhan adalah merentasi umur, jantina, bangsa dan latar belakang masyarakat.
“Semuanya harus sedar bahawa setiap daripada kita kena putuskan tindakan sendiri dan kalau kita mendiamkan diri, bermakna kita tidak ada bezanya dengan mereka (Israel) itu,” katanya

No comments: